Monday, July 6, 2009

Kisah Nabi Adam.....DOSA PERTAMA DI DUNIA



Setelah Nabi Adam as diturunkan ke bumi, dia sangat menyesal dan menyedari bahawa iblislah yang mengeluarkannya dari syurga, lalu ia dilemparkan ke bumi agar menjadi orang yang menderita dan sengsara.

Nabi Adam as. pun bertaubat dengan taubat nasuha, maka taubatnya pun diterima oleh Allah SWT sebagaimana penjelasan Allah dalam firmanNya yang bermaksud:

"Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah Menerima taubatnya, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang"

(Al-Baqarah:37)

Setelah iblis berhasil merayu Adam as. dan setelah taubatnya diterima oleh Allah SWT, iblis tidak merasa puas sekadar disitu, kini ia berusana untuk merayu anak cucu Adam as. supaya berbuat perkara yang sama. Keberhasilan pujukan iblis kali kedua ini adalah merupakan DOA BESAR YANG PERTAMA SEKALI DILAKUKAN OLEH MANUSIA DI DUNIA.

Peristiwa ini bermula dari perintah Tuhan kepada Nabi Adam as. supaya Adam mengahwinkan anaknya Qabil Adam as. dengan saudara kembar Habil. Begitu pula sebaliknya, Habil dikahwinkan dengan saudara kembar Qabil.

Qabil tidak bersetuju dengan perintah itu dan bertegas mahu berkahwin dengan saudara kembarnya sendiri kerana saudara kembarnya lebih cantik daripada saudara kembar Habil.

Oleh kerana keengganan Qabil itu untuk mematuhi perintah Allah, maka Nabi Adam as. menyuruh kedua orang anaknya melakukan korban dan barang siapa yang korbannya diterima, maka dialah yang akan dikahwinkan dengan saudara kembar Qabil yang cantik itu.

Korban dinilai berdasarkan niat yang ikhlas dan ternyata korban Habil yang berupa seekor kambing gembalaannya yang sangat gemuk telah diterima oleh Allah SWT berbanding korban Qabil yang berupa buah-buahan dari kebunnya, tetapi banyak antara buah-buah itu yang telah busuk.

Qabil menjadi marah dan menyangka bahawa ayahnya hanya mendoakan korban adiknya supaya diterima Allah. Kesempatan itu dipergunakan sebaik-baiknya oleh iblis untuk membangkitkan rasa iri, hasad dan dengki di hati Qabil.

Dengan hasutan iblis yang membara dihati Qabil, Qabil menjerit "Aku akan membunuh mu, sebab korban mu diterima sedangkan korban ku tidak!"

Habil menjawab "Mengapa kamu mahu berbuat demikian dan bukankah Allah hanya menerima korban dari hambanya yang bertaqwa?'

Keinginan Qabil untuk membunuh adiknya tidak dapat ditahan lagi kerana tiap saat hatinya telah dihasut oleh iblis. Maka pada suatu hari Qabil datang ketempat adiknya mengembala kambing di kaki gunung dan tanpa berfikir panjang dipukul adiknya itu, lalu Habil jatuh terkulai lalu meninggal dunia.

Melihat adiknya telah mati, Qabil menjadi bingung. Ia menangisi jenazah adiknya dan tidak tahu apa yang harus ia lakukan terhadap mayat adiknya itu. Ia memikul mayat adiknya itu ke sana ke mari, hingga akhirnya ia melihat dua ekor gagak yang bekelahi dan salah seekornya mati. Dia melihat bagaimana gagak itu mencungkil-cungkil tanah untuk menguburkan kawannya.

Melihat peristiwa itu, maka Qabil pun melakukan hal yang sama terhadap mayat adiknya. Sesudah itu ia merasa amat takut apatah lagi mendengar suara ayahnya yang memanggil bertanyakan apa yang sedang dibuatnya.

Sewaktu Nabi Adam as. melihat bekas-bekas darah disana sini hatinya berkata "Sungguh celaka engkau iblis, kerana menghasut aku dan anak-anakku supaya berbuat dosa" Maka dengan suara yang amat kuat Adam as. memanggil Qabil "Qabil!! apa yang telah engkau lakukan terhadap adik mu?"

Kisah yang terjadi antara dua orang anak Adam as. itu dijelaskan Allah dalam firmanNya dalam surah Al-Maidah ayat 27-31.


No comments:

Post a Comment