Monday, January 25, 2010

YouTube - Zikir ( amalan setiap hari Jumaat ) oleh Tuan Guru Nik Aziz

YouTube - Zikir ( amalan setiap hari Jumaat ) oleh Tuan Guru Nik Aziz: "Zikir ( amalan setiap hari Jumaat ) oleh Tuan Guru Nik Aziz"

#

#: "18. TAHLIL"

Sunday, January 17, 2010

Saat talkin hampir dibaca.....


ADAB MENGURUSKAN JENAZAH


ALLAH s.w.t. telah berfirman yang bermaksud "setiap jiwa itu akan merasai mati" (Ali Imran:185). Rasulullah juga telah mengingatkan kepada umatnya agar sentiasa mengingati mati dalam sabdanya yang bermaksud "Perbanyakkanlah memperingati perkara yang memutuskan kenikmatan dunia (mati)."

Kematian merupakan suatu saat yang paling penting dan genting dalam akhir kehidupan manusia. Penting kerana disaat itulah yang menentukan ke arah mana yang bakal dituju selepas itu. Sama ada di tempat yang mendapat rahmat dari Allah atau sebaliknya. Justru itu, Rasulullah s.a.w. telah mengajar kita agar sentiasa berdoa agar mendapat "Husnul Khatimah" yakni akhir kehidupan yang baik. Ada pun kematian itu merupakan saat yang genting kerana sewaktu menghadapi sakratul maut iaitu merupakan satu kesakitan yang amat sangat, yang menjadikan orang yang menghadapinya tidak dapat berfikir dengan baik serta tidak merasa ketenteraman disebabkan sakit yang amat sangat yang sedang ditanggunginya. Rasulullah s.a.w. sendiri dalam sebuah hadisnya mengenai kematian pernah menyifatkan keadaan sakit sewaktu sakratul maut itu lebih dahsyat dari ditusuk dengan 300 bilah pedang.

Bagi membantu orang yang sedang menghadapi kematian serta menenangkannya dalam menanggung kesakitan yang amat sangat itu, beberapa panduan yang telah disenaraikan oleh syarak untuk melakukannya bagi ahli keluarga atau sesiapa yang menziarahi orang yang sedang menghadapi kematian dan selepas kematian:

1 Perkara-perkara yang perlu dilakukan menghadapi orang sedang nazak:

a) Apabila pesakit sedang menghadapi kematian, disunatkan bagi ahli keluarganya atau sesiapa yang menziarahinya agar membaringkannya dengan memiringkan ke kanan dan menghadapkan mukanya ke arah kiblat. Jika perkara ini sukar dilakukan maka hadapkan sahaja mukanya ke arah kiblat dengan meninggikan kepalanya dengan bantal.

b) Disunatkan juga agar mengajarkannya membaca kalimah syahadah iaitu "Lailaha illallah" dengan membisikkan di telinganya dengan lembut dan perlahan berulang kali. Ini sepertimana yang disebutkan di dalam hadis yang bermaksud: "Ajarkan kepada orang yang sedang menghadapi kematian bacaan Lailaha illallah." (riwayat Muslim) Ada hadis riwayat lain yang menerangkan bahawa disunatkan membaca surah Yaasin.

c) Disunatkan juga agar dingatkan kepadanya supaya berbaik sangka dengan Allah dan mengharapkan pengampunannya serta berdoa agar dimatikannya dengan keadaan beriman dengan Allah s.w.t.

d) Dititiskan air di tekaknya sedikit demi sedikit (jangan sampai dia tersedak) kerana ada riwayat orang yang sedang sakarat itu kehausan.

e) Disiwakkan (disugi) perlahan-lahan dengan kayu siwak.

2 Perkara-perkara yang perlu dilakukan bagi menyelenggara orang yang baru menghembuskan nafas terakhir.

a) Hendaklah ditutup mata dan mulutnya (jika terbuka).

b) Mengusap dan mengurut seluruh anggotanya khususnya pergelangan- pergelangan tangan, siku, peha, lutut dan kaki. Ini bagi memastikan keseluruhan pergelangan tersebut menjadi lembut bagi memudahkan urusan permandian.

c) Meletakkan satu benda yang berat di atas perutnya dengan tujun agar tidak dimasuki angin.

d) Menyalinkan pakaiannya yang sedang dipakai dengan kain yang dapat menutup seluruh anggota badannya.

e) Setelah itu disunatkan agar disegerakan penyelenggaraan mayat tersebut dengan memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan seterusnya mengebumikannya.

3 Cara-cara memandikan mayat

a) Hendaklah meletakkan mayat di tempat yang tinggi sedikit dari permukaan lantai serta ditutupi seluruh tubuh badannya dengan kain.

b) Setelah itu, diangkat sedikit bahagian atas badan si mati dengan tangan kanan orang yang memandikannya dengan memegang tengkok mayat tersebut manakala tangan kirinya diusap-usap perut si mati agar keluar segala baki kotoran di perutnya. Lalu dibersihkan dan dibasuh tempat tersebut.

c) Kemudian dibersihkan mulut dan lubang hidung diikuti dengan mengwudukkannya. Setelah itu dibasuh kepala dan mukanya.

d) Kemudian disiram air di seluruh badannya dengan diselangkan dengan siraman air mawar atau bidara dengan dimulakan dari kepala bahagian kanan dan terus ke bawah, kemudian ke bahagian kiri badannya. Ianya sunnat diulang tiga kali.

e) Jika mayat tersebut wanita, maka sudah semestinya wajib dimandikan oleh wanita atau suaminya. Dan jika mayat tersebut lelaki, maka wajib pula dimandikan oleh lelaki atau isterinya sendiri.

4 Cara-cara mengkafankan mayat

a) Jika sekiranya mayat tersebut seorang lelaki, maka elok dikafankan dengan tiga helai kain sekurang-kurangnya untuk menutupi aurat dan seluruh tubuhnya. Jika ianya seorang wanita, maka dengan lima helai kain putih yang panjang lebih kurang sama dengan tubuh si mati.

b) Makruh dikafankan si mati dengan kain selain warna putih. Ini seperti yang telah dijelaskan di dalam sebuah riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Sayyidatina Aisyah beliau berkata: "Rasulullah s.a.w. telah dikafankan dengan tiga helai kain putih tanpa baju atau serban". Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: "Pakailah pakaian yang berwarna putih, kerana ia adalah sebaik-baik pakaian, dan kafankanlah mayat saudaramu dengan kain putih". (Riwayat Tarmizi)

c) Jenis kain yang digunakan sebagai kafan mestilah jenis yang boleh dipakai oleh orang yang hidup. Oleh itu, tidak harus menggunakan kain kafan bagi mayat lelaki dengan kain sutera kerana lelaki diharamkan memakainya.

d) Dibolehkan menabur kapor barus atau pacai di anggota badan si mati seperti tangan, dahi dan kaki dan atas kafannya.

5 Adab menziarahi orang mati

a) Dilarang orang-orang yang menziarahi keluarga yang baru ditimpa kematian hadir di tempat rumah tersebut dengan bergurau senda dengan teman-teman yang lain. Perkara ini akan menyinggung perasaan keluarga tersebut. Mereka haruslah mengucapkan takziah kepada keluarga tersebut perkataan: "Semoga Allah menambahkan ganjaran pahala kamu, dan memperbaiki kedudukan kamu serta mengampunkan dosa ahli keluarga kamu yang baru meninggal."

b) Disunatkan bagi orang yang menziarahi kematian agar membaca Surah Yasin seperti yang disebutkan di dalam hadis yang bermaksud "Bacalah ke atas mereka yang sedang menghadapi kematian dengan membaca Surah Yasin." (Riwayat Abu Daud)

c) Digalakkan agar dihulurkan bantuan yang berbentuk wang atau makanan kepada keluarga yang ditimpa kematian khususnya bagi keluarga yang miskin.

d) Makruh bagi orang yang menziarahi rumah yang ada kematian, makan/minum di rumah tersebut kerana ianya menyibukkan lagi ahli keluarga tersebut. Melainkan jika makanan atau minuman tersebut disediakan oleh jiran tetangga bagi keluarga yang ditimpa kematian.

6 Solat Jenazah



a) Sedia maklum bahwa hukum menyelenggarakan mayat dan menyembahyangkannya ialah fardhu kifayah yakni jika ada segolongan orang yang melaksanakannya maka tidak wajib bagi orang yang lain melakukannya akan tetapi diberi pahala bagi orang yang melakukannya. Salat jenazah ini tidak sah dilakukan melainkan sesudah mayat tersebut sempurna dimandikan.

b) Sewaktu hendak mula menyembahyangkannya, mayat yang telah berkafan itu hendaklah diletakkan dihadapan orang yang mensalatkannya.

c) Bagi mayat lelaki, imam haruslah berdiri di bahagian kepala si mati manakala jika ianya wanita maka imam haruslah berdiri di bahagian badannya.

d) Disunatkan agar mereka yang sama-sama menyembahyangkan mayat tersebut sekurang- kurangnya membuat tiga barisan (saf) atau lebih dengan jarak antara satu barisan dengan barisan di belakang hanya satu jengkal setengah atau dua jengkal.

e) Salat jenazah mmepunyai empat takbir termasuk takbiratul ihram. Pada takbir pertama diniatkan: "Sahaja aku sembahyangkan jenazah (hadir/ghaib) empat kali takbir fardhu kifayah kerana Allah Ta'ala".

f) Selepas takbir pertama hendaklah membaca Surah Al-Fateha. Setelah habis Fateha maka diangkat takbir yang kedua dan membaca selawat Ibrahimiyyah yakni selawat yang dibaca sewaktu kita bertahiyyat. Selepas itu diangkat takbir ketiga dan disusuli dengan membaca doa ke atas mayat sekurang- kurangnya membaca *"Allahummaghfirlahu warhamhu" ertinya "Ya Allah ampunkanlah dosanya dan limpahkan rahmatmu keatasnya." Selepas itu diangkat takbir keempat diikuti dengan membaca *"Allahumma laa tahrimna ajrahu, walaa taftinna ba'dahu waghfirlana walahu" ertinya " Ya Allah janganlah kau halangkan pahalanya kepada kami dan janganlah kami diberi bala atau cubaan selepasnya dan ampunkanlah kami dan dia (si mati)". Selepas itu, memberi salam ke kanan dan ke kiri seperti salat-salat yang lain.

"Ya Allah jadikanlah akhir kehidupan kami dengan kebaikan dan rahmatmu dan jangan jadikan akhir hidup kami dengan keburukan dan kemurkaanmu". Amin.


* Pengganti nama "Hu" adalah untuk mayat lelaki, jika mayat wanita digantikan dengan pengganti nama "Ha".

oleh Uztaz Lukman Afandi

Pegawai Pendidikan Agama MUIS


Monday, January 11, 2010

MEREBUT HIDAYAH ALLAH



Dalam kita mengejar keduniaan....seringkali kita terlupa akan adanya nikmat, anugerah dan hidayah dari Allah swt yang tidak ternilai indahnya untuk kita.

Bagaimana ingin merebut HIDAYAH  Allah?

1.  Berpegang teguh dengan agama
     "Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk HIDAYAH ke jalan yang betul (lurus)" (Surah Ali Imran 3:101)

2.  Beriman dengan Allah swt dengan sebaik-baik iman
     Iman yang tidak sekelumit pun dalam hati syak atau ragu-ragu
     "Dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (Untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar)" (Surah al-Taghabun 64:11)

3.  Beramal dengan Al-Quran dan sunah.
     "Maka sesiapa yang mengikut petunjuk Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab"(Surah Taha 20:123)




4.  Berilmu
     Ilmu membawa kepada mengenal Allah dan mendapat hidayahNya.  Allah berfirman,  "Seterusnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba Nya hanyalah orang yang berilmu."(Surah Fatir 35:28)

5. Tidak menjadi hamba hawa nafsu
    Katakanlah lagi: "Aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku, dan tiadalah aku dari orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Surah al-An'am 6:56)

6.  Bermujahadah
     "Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya." (Surah al-Ankabut 29:69)

7.  Taat kepada Allah dan RasulNya
     "Katakanlah lagi (kepada mereka)" Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah.  Kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Rasul Allah hanya bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu.  Dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah petunjuk"(Surah al-Nur 24:54)

8.  Bersabar fillah, billah dan 'alallah
     "Dan kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami" (Surah al-Sajadah 32:24)

9.  Berdoa kepada Allah
     DitanganNya hak memberi hidayah, terutamanya pada waktu mustajab doa. "Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam," (Surah al-An'am 6:125)

10. Memperbanyakkan amalan sunat
     Ibn al-Qayyim berkata,"Hidayah akan menarik hidayah dan kesesatan akan kepada kesesatan.  Maka amal yang baik itu membuahkan hidayah...." (Ibn Qayyim Tanwir al-Mawalik 1/338)

11. Mendengar ceramah, peringatan atau tazkirah
     Allah berfirman yang bermaksud. "Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran, kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna)" (Surah al-"Ala 87:9)