Sunday, July 19, 2009

Kisah Benar sebagai tauladan......Al-Malikah seorang Primadona

Diceritakan bahawa, Al-Malikah adalah seorang primadona dari Bani Israel. Dia merupakan seorang pelacur (kelas tinggi) yang mengenakan upah yang mahal iaitu 100 dinar untuk setiap kali perkhidmatannya. Dia sememangnya seorang perempuan yang sangat cantik sehinggakan Abid sangat tergila-gila padanya. Sayangnya, Abid tidak mempunyai wang yang cukup untuk menerima khidmat Al-Malikah.

Oleh kerana perasaan Abid yang begitu tergila-gilakan Al-Malikah, dia telah berazam bersungguh-sungguh dan telah memerah seluruh keringat dan tenaganya untuk mengumpulkan wang sebanyak yang diperlukan bagi memastikan primadona itu berada dalam pelukannya.

Dengan berbekalkan wang 100 dinar di tangan Abid, pada suatu hari Abid telah menemui Al-Malikah pujaannya itu.

Dia disambut dengan senyuman manis serta pelawaan masuk oleh Al-Malikah. Saat mendengar sapaan itu Abid menjadi terlalu gembira dan merasakan yang hajat dan keinginannya bakal terpenuhi sekejap lagi kerana duit 100 dinar sudah ada di dalam sakunya.

Tapi saat kakinya melangkah masuk ke kamar Al-Malikah, seluruh tubuhnya menggigil dan menggeletar dan peluh dinginnya merembas keluar. Malah ketika Al-Malikah mula memeluknya, Abid bertempik dan menjerit sekuat hati sambil berusaha melepaskan diri.

Tatkala badannya dibaringkan dikatil oleh Al-Malikah, Abid tiba-tiba bangkit sambil menjerit dan merayu, "Lepaskanlah aku, dan ambillah wang 100 dinar ini.

Al-Malikah yang kehairanan segera bertanya, "Kenapa engkau tiba-tiba jadi begini?"

Abid segera menjawab, "Aku takut kepada Allah! Aku takut kepada Allah! Bagaimanakah nanti aku akan mempertanggungjawabkan dengan perbuatan maksiatku ini?" ujarnya sambil meluru ingin keluar dari kamar Al-Malikah.

Mendengar jawapan itu, Al-Malikah menjadi terpegun dikatilnya. Hati nuraninya benar-benar tersentuh dengan sikap lelaki di hadapannya itu. Dan tanpa disedari, airmatanya meleleh di pipi dan dia kemudiannya terisak-isak menangis. Terbayang dimatanya akan segala dosa yang telah dilakukannya selama ini. Dia telah menempa sejuta dosa dan meletakkan dirinya sebagai perempuan paling hina di sisi Allah SWT.

Hatinya menjadi cair dan cahaya keinsafan tiba-tiba meresap masuk, jauh mendasari lubuk hatinya. Akan terampunkah dosa itu Ya Allah? Bisik hatinya tersendu.

Saat Abid ingin melangkah pergi, Al-Malikah menahannya dengan perasaan penuh sebak dan sayu seraya berkata, "Sesungguhnya tuan hamba....sudikah sekiranya tuan hamba mengambil ku sebagai isterimu?"

Abid yang masih dilanda ketakutan tidak mampu untuk berfikir apa-apa lagi selain ketakutan yang amat sangat kepada Allah SWT dan pantas menjawab, "Tidak, sesungguhnya aku sudah nekad untuk meninggalkan tempat ini".

Al-Malikah merayu dan merayu agar Abid tidak meninggalkannya dan tidak membenarkan Abid keluar dari kamarnya sehingga dia bersetuju dan berjanji untuk memperisterikan Al-Malikah.

Abid yang masih dilanda rasa takut tanpa berfikir panjang terus berjanji dengan harapan agar dia boleh cepat-cepat keluar dari kamar yang menjadi impiannya selama ini.

Saat Abid bersetuju untuk memperisterikannya, Al-Malikah tersangat gembira dan bertekad untuk meninggalkan kerja sebagai pelacur itu buat selama-lamanya. Baginya hidayah Allah telah sampai dan lelaki itu diutuskan Allah untuk menyelamatkannya dari terus terusan hidup dalam noda dan dosa. Penyesalan demi penyesalan timbul dihatinya dan perasaan itu semakin membangkitkan keinginannya untuk menjadikan lelaki beriman itu sebagai suaminya. Dalam mencari 'Nur' Allah Al-Malikah mengharapkan Abid yang akan menjadi pembimbing dan membawanya ke jalan yang diredhai Allah.

Penantian yang lama membuatkan Al-Malikah tidak sabar dan keluar mencari Abid di kampung tempat tinggalnya. Sebaik bertemu, Abid menjadi amat terkejut dan ketakutan. Lantaran ketakutan yang mendadak dan keterlaluan itu membuatkan Abid pengsan lalu meninggal dunia. Menangislah Al-Malikah sewaktu menyaksikan lelaki yang telah banyak menginsaf dan menyedarkannya itu meninggal dunia sebelum sempat mengahwininya.

Tanpa rasa segan dan silu, atas dorongan keinsafan kepada Allah SWT, Al-Malikah merayu untuk mengahwini saudara Abid sebagai menebus dosa-dosanya yang lalu. Baginya walaupun Allah tidak mengizinkan dia mengahwini Abid tapi sesiapa sahaja yang terdekat dengan Abid tetap akan diterimanya.

Lantas teman Abid memberitahu, "Abid mempunyai seorang saudara, tetapi lelaki ini sangat miskin, sekiranya engkau tetap sudi mengahwininya, bermakna bersedialah untuk hidup dalam kemiskinan dan jangan pula suatu hari nanti kau akan menyesal"

Al-Malikah memohon untuk berkahwin sebagai memenuhi rasa cintanya pada Abid, seorang lelaki yang terlalu banyak jasanya dalam membentuk jiwanya sebagai manusia yang dirahmati Allah. Dia tidak ingin lagi mempedulikan soal duit, harta dan kekayaan dunia. Dalam dirinya hanya ada rasa insaf. Dan akhirnya berkahwinlah Al-Malikah, seorang bekas pelacur yang cantik dengan saudara Abid yang miskin itu dengan mengenepikan segenap rasa duniawi. Al-Malikah telah mengorbankan segala kemewahan dan menerima apa sahaja takdir Allah keatas dirinya demi rasa insaf dan ingin kembali menjadi makhluk Allah yang diredhai. Dia telah mengecap syurga dunia yang penuh dengan bisikan iblis dan syaitan dan sekarang dia hanya ingin mencari SYURGA ALLAH.

Begitulah.....sekiranya Allah SWT telah membuka pintu hati dengan taufiq dan hidayahNya dan berbahagialah sesiapa sahaja yang menginsafi dosa lalu, bertaubat, dan kembali ke jalan yang lurus dan diredhai Allah.

"Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah aku,
dan angkatkanlah darjatku, berikanlah aku rezeki,
dan berilah aku petunjuk dan afiatkanlah aku
dan maafkanlah aku.
(Kalimah doa yang dibaca tiap kali duduk antara dua sujud (duduk iftirasy)"

Ya ALLAH, Ya Rabb, Ya Rahman, Ya Rahim...Ya Hayyu, Ya Qayyum,
Ya Dzal Jalali wal Ikram...
(Ya Allah, Wahai Yang Maha Pengasih dan Penyayang, Wahai Yang Hidup Selama-lamanya, Wahai Yang Mempunyai Kebesaran dan Kepemurahan)

Wahai ahli taqwa dan ahli keampunan,
wahai yang mengingat orang-orang yang mengingat,
berilah aku taubat nasuha
dan tambahlah kurnia RahmatMu kepada ku,
tambahlah Nur dan kejelasan untuk ku,
Wahai Kekasih Yang Mengasihi.
(Doa solat sunat Tasbih)


No comments:

Post a Comment